1 Feb 2015

Hanuman Membudayakan Minat Membaca

SHAH ALAM – Teks Ramayana yang berasal dari India tersebar luas ke hampir seluruh dunia. Kisah-kisah daripada epik bahasa Sanskrit itu turut dihayati menerusi Hikayat Seri Rama di Malaysia.

Novel Hanuman: Suara Hati (2013) menyaksikan keseluruhan cerita daripada epik itu diberikan sentuhan baru dan diceritakan semula menggunakan sudut pandangan watak Hanuman, si kera putih bermata hijau.

Memandangkan novel ini menggunakan bahasa kebangsaan, maka segala kisah, pengalaman, budaya dan dialog secara tidak langsung mengangkat serta memartabatkan bahasa kebangsaan.

Penghayatan novel ini menjadi lebih menarik menerusi acara Baca Novel Hanuman di Rumah Kavyan pada 20 September 2014. Acara itu menampilkan 20 peserta pelbagai kaum dan peringkat umur membacakan petikan novel tersebut.

Setiap peserta mempunyai gaya persembahan tersendiri semasa menyampaikan petikan masing-masing. Acara ini membuktikan bahawa kisah epik dan klasik terus mendapat tempat dalam hati generasi muda.

[Laporan ini disiarkan di majalah Dewan Budaya, Januari 2015]