Friday, November 27, 2009

Bengkel Cerpen di Wisma MCA

Tarikh: 20 Disember 2009 (Ahad)

Masa: 9:00 pagi – 1:00 tengah hari

Tempat: Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Penganjur: Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Sekretariat Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLL) MCA

Pembimbing: Uthaya Sankar SB

Tarikh tutup pendaftaran: 17 Disember 2009 (Tarikh kakitangan awam menerima gaji)



Syarat-syarat Umum:


Penyertaan terbuka kepada individu pelbagai kaum berumur minimum 20 tahun yang berminat mempelajari teknik menghasilkan cerpen bermutu.

Sebaik-baiknya, peserta mempunyai sedikit asas mengenai penulisan.

Peserta perlu membawa alat tulis dan buku untuk mencatat nota.

Peserta amat digalakkan membawa komputer riba untuk menulis cerpen.


Bengkel akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia.

Peserta akan dibimbing oleh
Uthaya Sankar SB.

Bayaran penyertaan adalah sebanyak RM50.00 sahaja.

Individu yang berminat perlu mendaftar nama dengan mengirim e-mel ke alamat
infokavyan@yahoo.com.my selewat-lewatnya pada tarikh tutup pendaftaran yang ditetapkan.

Sila tulis “Bengkel Cerpen Kavyan” pada ruangan subjek (subject) setiap e-mel yang dikirim berhubung bengkel ini.

Kemudian, peserta akan diminta mengesahkan penyertaan dengan mendeposit bayaran penyertaan sebanyak RM50.00 ke akaun CIMB Bank Berhad.

Bengkel intensif ini terhad kepada 15 peserta sahaja.

Pendaftaran akan ditutup selepas 15 peserta terawal membuat bayaran.

Pada hari bengkel berlangsung (20 Disember 2009), peserta WAJIB membawa salinan slip bank sebagai bukti pembayaran sebelum dibenarkan menyertai bengkel.

Meja pendaftaran dibuka pukul 8:30 pagi pada hari bengkel (20 Disember 2009). Peserta diingatkan supaya tidak datang selepas pukul 9:00 pagi kerana akan mengganggu perjalanan bengkel.

Bayaran tidak akan dikembalikan jika peserta gagal hadir.

Peserta perlu menanggung sendiri segala kos perjalanan, makan-minum, penginapan (dan sebagainya) untuk menyertai bengkel ini.

Peserta dinasihatkan supaya mematikan deringan telefon bimbit serta tidak mengganggu perjalanan bengkel dengan apa cara sekalipun.

Hanya peserta yang mengikuti SEPENUHNYA bengkel ini akan diberi sijil penyertaan dan cenderamata berupa buku cerita oleh pihak
Kavyan.

Semasa menghadiri bengkel, peserta akan diberi bimbingan secara praktikal, di mana peserta perlu menulis rangka cerpen.

Topik-topik asas yang akan disentuh termasuk unsur-unsur sastera dan unsur-unsur cerpen.

Topik-topik khusus yang akan diberi penekanan termasuk cara mendapatkan idea bagi cerpen, teknik memancing minat pembaca, cara mengedit karya sendiri dan cara mengirim karya kepada editor akhbar/majalah.

Peserta digalakkan supaya terlibat secara aktif dan bertanya soalan yang sesuai semasa menyertai bengkel ini.

Hubungi
infokavyan@yahoo.com.my SEBELUM tarikh tutup penyertaan yang ditetapkan jika ada sebarang bertanyaan berhubung bengkel ini.

Sunday, November 22, 2009

Minit Mesyuarat 22 November 2009

Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan telah berlangsung pada Ahad, 22 November 2009 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Sila KLIK DI SINI untuk membawa minit lengkap mesyuarat berkenaan.

Friday, November 20, 2009

Baca Cerpen OKU

Sempena sambutan Hari Orang Kelainan Upaya pada Disember ini, Kumpulan Sasterawan Kavyan merancang suatu aktiviti yang cukup istimewa dan lain daripada yang lain, iaitu “Baca Cerpen O.K.U”.

Timbalan Presiden Kavyan, Prakash Suriya Murthy dalam kenyataan yang dikeluarkan di Shah Alam berkata, acara berkenaan akan menampilkan peserta Orang Kelainan Upaya yang menyampaikan cerpen Bahasa Malaysia dengan gaya tersendiri mengikut kemampuan masing-masing.

Prakash yang juga cacat penglihatan menjelaskan bahawa peserta antara lain boleh menggunakan bahasa isyarat atau membaca teks versi Braille untuk dihayati oleh khalayak.

Golongan O.K.U yang meminati sastera dan cerpen Bahasa Malaysia diundang menyertai acara ini yang bakal berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Orang ramai juga digalakkan tampil menjadi sukarelawan bagi membantu menguruskan perjalanan acara “Baca Cerpen O.K.U” yang dijadualkan pada awal Disember ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 012-3368142 atau layari blog www.kavyan.blogspot.com
.
Nota: Maklumat ini turut disiarkan menerusi Bernama Radio24 pada 21 November, sekitar 2:25 petang. Terima kasih, Nazira Noran!

Monday, November 16, 2009

Kelab Membaca Sinar Pintar di Beaufort

Berikut skrip bahan liputan yang disiarkan dalam segmen “Peristiwa” menerusi TV1 pada Isnin, 16 November 2009.

Seramai 35 pustakawan dan sukarelawan dari seluruh negeri Sabah berpeluang menyertai Bengkel Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar yang dianjurkan di Beaufort baru-baru ini (4 November 2009).

Mereka menerima bimbingan daripada fasilitator yang berpengalaman dalam merancang dan mengendalikan pelbagai aktiviti berkaitan buku dan bahan bacaan yang sesuai bagi kanak-kanak dan remaja.

Kelab Membaca Sinar Pintar yang dikelolakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia dilancarkan secara rasmi oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 2 Julai 2008 sempenan Festival Membaca.

Sejak itu, siri Bengkel Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar diadakan di seluruh negara untuk membimbing sukarelawan yang berminat mengendalikan aktiviti kelab berkenaan ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang gemar membaca.

Mentor terdiri daripada golongan guru, ibu bapa, pesara, penulis, penerbit, pekerja sosial dan sesiapa sahaja yang bersedia untuk berkongsi minat membaca bersama generasi muda.

Semasa menyertai bengkel di Beaufort, para peserta diberikan maklumat dan penjelasan terperinci oleh fasilitator dari Kumpulan Sasterawan Kavyan mengenai objektif, modul, aktiviti dan pelbagai maklumat berkaitan pengendalian Kelab Membaca Sinar Pintar.

Semoga para pustakawan dan sukarelawan ini lebih bersemangat dan lebih bersedia untuk membimbing kanak-kanak dan remaja menjadi anggota masyarakat yang menjadikan amalan membaca sebagai budaya seharian.

Friday, November 13, 2009

Bengkel Cerpen Kavyan

Individu yang mendaftar nama dan membuat bayaran sebelum 15 November 2009 hanya dikenakan yuran RM30.00.

Dapatkan maklumat mengenai bengkel di SINI.

PENTING: Sesiapa yang benar-benar menghadapi masalah untuk membuat bayaran, sila hubungi saya dengan segera melalui talian 012-3368142 supaya diberikan pengecualian yuran. Keputusan ini dibuat memandangkan ramai yang menghadapi masalah kewangan.

Sunday, November 8, 2009

Membaca di Dalam Kereta Api

Berikut skrip berita sebagaimana disiarkan menerusi Bernama Radio24 pada 11:00 pagi, 8 November 2009:

Kempen Galakan Membaca anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapat sentuhan menarik apabila ia bekerjasama dengan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Kedua-dua pihak berkenaan bekerjasama dalam menjayakan Kempen Membaca di Dalam Kereta Api pada pagi ini.

Kempen berupa aktiviti membaca ini bermula di KL Sentral di mana masyarakat pelbagai kaum sama-sama menaiki tren kereta api menuju ke Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah PNM, Dato’ Raslin Abu Bakar berkata, sepanjang perjalanan pergi-balik, para penumpang kereta api akan terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan buku dan pembacaan.

Antaranya, membaca buku secara beramai-ramai, mendengar cerita, kuiz dan membaca buku secara bergilir-gilir.

Aktiviti ini dijangka mencatat nama dalam “The Malaysia Book of Records” bagi aktiviti membaca secara beramai-ramai yang pertama kali di dalam kereta api yang sedang dalam perjalanan.

Sunday, November 1, 2009

Kursus Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar di Beaufort, Sabah

Perpustakaan Negeri Sabah menganjurkan Kursus Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar (KMSP) pada 4 November 2009 di Hotel Jasaria, Beaufort, Sabah bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berminat menjadi Mentor KMSP yang dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin dalam kenyataannya di Kota Kinabalu berkata, para peserta akan dibimbing oleh Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB yang merupakan sasterawan prolifik, aktivis bahasa dan Fasilitator KMSP.

Kelab berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 2 Julai 2008.

Objektif KMSP adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja; ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang gemar membaca.

Menurut Wong Vui Yin, Majlis Perasmian KMSP Peringkat Daerah Beaufort akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah pada 5 November 2009 di Dewan Pa Musa, Beaufort.

Uthaya Sankar SB akan turut memberi ceramah motivasi, panduan penulisan dan galakan membaca kepada sekumpulan pelajar pada 5 November 2009.

Orang ramai, khususnya penduduk sekitar Beaufort, boleh menghubungi Urus Setia Jawatankuasa Kerja Pemandu KMSP Sabah, Puan Esther V. Mobilik di talian 088-231623 (sambungan 218) atau e-mel Esther.VincentMobilik@sabah.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai program yang diatur.

Saturday, October 31, 2009

Baca Puisi Dr Lim Swee Tin di Radio24

Orang ramai perlu prihatin dan bersikap proaktif dalam usaha memelihara kemurnian Bahasa Malaysia daripada dicemari oleh mana-mana pihak yang kurang bertanggungjawab.

Sekiranya ada pihak yang melakukan kesalahan bahasa – secara lisan atau bertulis – maka masyarakat perlu tampil memberi teguran dan membetulkan kesilapan itu.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Lim Swee Tin berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul bersama tanpa mengira kaum dan usia.

Beliau yang merupakan penyair terkenal tanah air berkata demikian pada akhir acara “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Program sastera anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor itu menyaksikan pembacaan puisi-puisi karya Dr Lim Swee Tin oleh sekumpulan pelajar, penulis dan peminat sastera pelbagai kaum.

Turut dilancarkan “Kempen Pencalonan Dr Lim Swee Tin Bagi Anugerah Sastera Negara” oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Pada tahun 2000, penyair kelahiran Kelantan itu dianugerahi “S.E.A. Write Award” oleh Kerajaan Thailand; di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia.

Dr Lim Swee Tin menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan non-kreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya Bahasa Malaysia beliau terkumpul dalam lebih 100 buah antologi bersama.

Beliau menegaskan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik setiap warganegara dan bahasa kebangsaan ini menjadi wahana utama dalam memupuk perpaduan ke arah merealisasikan konsep “Satu Malaysia”.

Tuesday, October 27, 2009

Baca Cerpen Dr Othman Puteh di RTM

Berikut skrip bagi liputan acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” untuk siaran slot ‘Peristiwa’ di TV1 pada 27 Oktober 2009, sekitar pukul 8:45 malam:

Dr Othman Puteh, seorang sasterawan yang amat sinonim dengan dunia sastera tanah air, khususnya sastera remaja. Tidak hairanlah beliau digelar “Raja Novel Remaja”.

Penulis kelahiran Kampuang Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka ini meninggal dunia pada 19 Oktober 2003.

Namun, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Allahyarham Dr Othman Puteh pula meninggalkan begitu banyak karya sastera kanak-kanak, remaja dan dewasa untuk dibaca dan dihayati zaman-berzaman.

Acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” dianjurkan pada 24 Oktober 2009 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam bagi memberi peluang kepada khalayak pelbagai kaum dan generasi menghayati cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh Allahyarham.

Program berkenaan adalah anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sempena “Bulan Bahasa Kebangsaan”.

Peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Seksyen 11, wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan, wakil Perpustakaan Raja Tun Uda, serta peminat sastera.

Petikan cerpen-cerpen daripada buku “Ario”, “Matra, Tasik dan Laut” serta “Kalut” dibacakan bagi mengimbau kehebatan Allahyarham Dr Othman Puteh sebagai seorang pengarang yang terus aktif hingga ke akhir hayat.

Saturday, October 24, 2009

Baca Puisi Dr Lim Swee Tin

Sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan” (BBK) Peringkat Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” pada Sabtu, 31 Oktober 2009, bermula pukul 8:30 pagi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Penyertaan dibuka kepada khalayak pelbagai kaum yang berminat tampil membaca puisi-puisi karya Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Peserta boleh sama ada memilih mana-mana puisi Dr Lim Swee Tin yang diminati atau mendapatkan teks puisi yang disediakan oleh pihak Kavyan.

Memandangkan penyertaan adalah terhad kepada 15 orang sahaja, sesiapa yang berminat menjadi peserta (pembaca puisi) wajib mendaftar lebih awal dengan mengirim e-mel ke infokavyan@yahoo.com.my atau SMS maklumat diri ke nombor 012-3368142 (Uthaya Sankar SB).

Orang ramai juga diundang hadir mendengar pembacaan puisi pada acara berkenaan. Hadirin yang datang awal (8:30 pagi) akan diberi cenderamata kenang-kenangan.

Para peserta pula akan menerima cenderamata, sijil dan hadiah-hadiah lain yang disediakan oleh penganjur. Cenderamata khas berupa buku-buku puisi Dr Lim Swee Tin juga akan diberikan kepada peserta yang tampil membaca puisi.

Prof Madya Dr Lim Swee Tin lahir di Kelantan pada tahun 1952. Pada 1988-1992, Lim melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Beliau meneruskan perkhidmatannya di Negeri Sembilan dan Selangor selama 10 tahun lagi sebagai guru. Dalam tahun 1996-1999 melanjutkan pengajian bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (M.A) – Kesusasteraan Melayu, dan 2000-2005 di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) - Kesusasteraan Melayu. Sejak 1 Disember 2000, Dr Lim berkhidmat pula di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Selain melibatkan diri dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan kesusasteraan, Dr Lim juga merupakan pembimbing dan penceramah Bahasa Malaysia sejak tahun 1980. Beliau mengendalikan kursus seperti penulisan, KOMSAS dan memberi motivasi kepada pelajar, pelatih guru dan guru-guru di sekolah, di Malaysia dan di Singapura. Beliau turut menulis lebih daripada 10 buku panduan Bahasa Malaysia untuk pelajar PMR dan STPM. Pada tahun 2000, beliau dianugerahi S.E.A. Write Award oleh Kerajaan Diraja Thailand di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia. Beliau menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan nonkreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya beliau terkumpul dalam 100 buah antologi bersama.

Usaha sedang dilakukan untuk mencalonkan Dr Lim Swee Tin sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang akan memungkinkan beliau diiktiraf sebagai Sasterawan Negara ke-11.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada 22 Ogos 1999 oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India. Kavyan berpegang teguh pada konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” dalam mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Kesemua aktiviti Kavyan terbuka kepada umum tanpa batas kaum dan agama. Acara “Baca Cerpen Kavyan” selama 96 jam 32 minit pada tahun 2003 berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records. Kavyan juga merupakan penerima Anugerah Budayawan Selangor 2005. Kavyan sering mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang sama-sama mencintai bahasa dan sastera kebangsaan.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com

Baca Cerpen di Radio 24

Berikut skrip berita yang disiarkan di Bernama Radio24 (93.9FM) pada Ahad, 25 Oktober 2009, pukul 12:00 tengah hari:

Generasi muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mengenali serta menghayati karya sastera Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh pengarang tanah air; termasuk pengarang yang sudah tiada.

Pegawai Tadbir, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Zainuddin Tasiman berkata, pengarang seperti Allahyarham Dr Othman Puteh telah menghasilkan begitu banyak karya yang sesuai bagi bacaan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Beliau berkata demikian pada acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan” Peringkat Negeri Selangor.

Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Kumpulan Sasterawan Kavyan berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, semalam.

Dr Othman Puteh, seorang sasterawan yang amat sinonim dengan dunia sastera tanah air dan digelar “Raja Novel Remaja”.

Penulis kelahiran Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka ini meninggal dunia pada 19 Oktober 2003.

Kumpulan Sasterawan Kavyan pernah beberapa kali menganjurkan “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” sebagai memberi penghormatan kepada Allahyarham yang juga pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Kehormat Kavyan.

Baca Cerpen Dr Othman Puteh diadakan pada 10 April 2004 dan Apresiasi Karya Dr Othman Puteh pada 25 Oktober 2004 khusus untuk mengenang sumbangan beliau.

Antara karya Allahyarham Dr Othman Puteh adalah Matra, Tasik dan Laut; Ario; Munajat di Perkebunan; Jeneral; dan Kalut.

Wednesday, October 21, 2009

Baca Cerpen Dr Othman & Baca Puisi Dr Lim

Sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan” (BBK) Peringkat Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan dua aktiviti bahasa dan sastera bagi khalayak umum.

Aktiviti “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” akan berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober 2009, bermula pukul 8:30 pagi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Aktiviti “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” pula akan berlangsung pada Sabtu, 31 Oktober 2009, bermula pukul 8:30 pagi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Penyertaan dibuka kepada khalayak pelbagai kaum yang berminat tampil membaca petikan cerpen karya Allahyarham Dr Othman Puteh atau puisi karya Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Memandangkan penyertaan adalah terhad, sesiapa yang berminat menjadi peserta (pembaca teks) wajib mendaftar lebih awal dengan mengirim e-mel ke infokavyan@yahoo.com.my atau SMS maklumat diri ke nombor 012-3368142 (Uthaya Sankar SB).

Orang ramai juga diundang hadir mendengar pembacaan petikan cerpen dan puisi pada kedua-dua acara berkenaan. Hadirin yang datang awal (8:30 pagi) akan diberi cenderamata kenang-kenangan.

Para peserta pula akan menerima cenderamata, sijil dan hadiah-hadiah lain yang disediakan oleh penganjur.

Dr Haji Othman Puteh dilahirkan di Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka pada 5 Januari 1944. Beliau mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI, 1963-1964). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Persuratan (1977), Ijazah Sarjana Sastera (1981) dan Ijazah Doktor Falsafah (1992) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mantan Profesor Madya di UKM ini giat menulis cerpen, novel dan esei kritikan; serta memberi ceramah, mengajar dan membimbing bengkel penulisan cerpen. Pada 1996, beliau mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat dan pada 1998, menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara. Antara karya beliau adalah Matra, Tasik dan Laut (1984), Ario (1988), Munajat di Perkebunan (1990), Jeneral (1992) dan Kalut (1997). Beliau juga Penasihat Kumpulan Sasterawan Kavyan sebelum meninggal dunia pada 19 Oktober 2003. Baca Cerpen Dr Othman Puteh diadakan pada 10 April 2004 dan Apresiasi Karya Dr Othman Puteh pada 25 Oktober 2004 khusus untuk mengenang sumbangan beliau.

Prof Madya Dr Lim Swee Tin lahir di Kelantan pada tahun 1952. Pada 1988-1992, Lim melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Beliau meneruskan perkhidmatannya di Negeri Sembilan dan Selangor selama 10 tahun lagi sebagai guru. Dalam tahun 1996-1999 melanjutkan pengajian bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (M.A) – Kesusasteraan Melayu, dan 2000-2005 di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) - Kesusasteraan Melayu. Sejak 1 Disember 2000, Dr Lim berkhidmat pula di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Selain melibatkan diri dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan kesusasteraan, Dr Lim juga merupakan pembimbing dan penceramah Bahasa Malaysia sejak tahun 1980. Beliau mengendalikan kursus seperti penulisan, KOMSAS dan memberi motivasi kepada pelajar, pelatih guru dan guru-guru di sekolah, di Malaysia dan di Singapura. Beliau turut menulis lebih daripada 10 buku panduan Bahasa Malaysia untuk pelajar PMR dan STPM. Pada tahun 2000, beliau dianugerahi S.E.A. Write Award oleh Kerajaan Diraja Thailand di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia. Beliau menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan nonkreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya beliau terkumpul dalam 100 buah antologi bersama.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan boleh dirujuk dari semasa ke semasa di www.kavyan.blogspot.com atau hubungi infokavyan@yahoo.com.my.

Monday, October 12, 2009

Penulis Kaum India Pemangkin 1Malaysia


Penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia boleh memberi sumbangan besar ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan; serta menjadi pemangkin kepada kejayaan konsep “Satu Malaysia”.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, kelompok berkenaan mampu mengangkat tema, budaya dan kisah hidup masyarakat India untuk difahami dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini yang berkata, kementeriannya menggalakkan Penulis Bukan Melayu untuk menulis buku Bahasa Malaysia, supaya perkembangan bahasa kebangsaan dalam khalayak Bukan Melayu akan lebih semarak lagi.

Kumpulan Sasterawan Kavyan yang diasaskan pada tahun 1999 diterajui oleh sekumpulan penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera seperti cerpen dan sajak Bahasa Malaysia.

Dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan di Shah Alam, Uthaya berkata, Kavyan juga mengendalikan siri bengkel penulisan untuk membimbing orang ramai yang berminat mempelajari teknik menghasilkan cerpen bermutu.

Katanya, karya sastera merupakan cara yang amat berkesan untuk membantu masyarakat pelbagai kaum saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya dan adat-resam yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia.

Nota: Skrip ini ditulis berdasarkan buletin yang disiarkan menerusi Bernama Radio24 pada 12 Oktober 2009, 4:00 petang.

Sunday, September 27, 2009

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan

Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan telah berlangsung di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Ahad, 27 September 2009.

Sebagaimana tradisi, minit mesyuarat dipaparkan untuk bacaan umum; ahli dan bukan ahli.

Sila KLIK DI SINI jika saudara berminat membaca minit mesyuarat berkenaan.

Friday, September 18, 2009

Anugerah SEA Write untuk Azmah Nordin

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap Anugerah “S.E.A. Write Awards” bagi negara Malaysia melalui jawatankuasa yang telah dilantik, iaitu Jawatankuasa Pemilihan S.E.A. Write Awards bagi tahun 2009 telah sebulat suara mencalonkan Azmah Nordin sebagai calon penerima anugerah S.E.A. Write Awards Tahun 2009 bagi negara Malaysia.

Pencalonan tersebut telah mendapat pengesahan daripada Sekretariat S.E.A. Write Awards di Bangkok, Thailand pada 9 September 2009. Dengan ini, DBP secara rasminya mengumumkan Azmah Nordin sebagai penerima anugerah “S.E.A Write Awards” tahun 2009 bagi negara Malaysia dan juga merupakan penerima anugerah yang ke-31 sejak anugerah tersebut diwujudkan pada tahun 1979.

Pegawai Komunikasi Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Nor Hamuni Ibrahim @ Md Yasin dalam e-mel kepada pihak Kavyan pada 18 September 2009 berkata, Minggu S.E.A. Write Awards 2009 akan diadakan pada 4–10 Oktober 2009.

Azmah Nodin akan menerima anugerah tersebut semasa acara kemuncak, iaitu pada Malam Gala dan Majlis Penganugerahan Anugerah pada 9 Oktober 2009, di Oriental Hotel’s Royal Ballroom, Bangkok, Thailand.

Anugerah tersebut akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan Duli Yang Maha Mulia Puteri Srirasm.

AZMAH NORDIN dilahirkan di Kulim, Kedah Darul Aman pada 10 Januari 1958. Kini, beliau bermastautin di Sabah semenjak tahun 1973. Pada tahun 1985 Azmah Nordin mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dan giat menghasilkan karya-karya dalam genre cerpen dan novel termasuklah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Sehingga hari ini, beliau telah banyak menghasilkan karya.

Kavyan mengucapkan tahniah kepada Azmah Nordin!

Sila KLIK DI SINI untuk membaca senarai karya beliau.

Tuesday, September 8, 2009

Bengkel Cerpen Kavyan

Tarikh: 22 November 2009 (Ahad)
Masa: 9:00 pagi – 1:00 tengah hari
Tempat: Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam (berhampiran Wisma MBSA)
Penganjur: Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Pembimbing: Uthaya Sankar SB
Tarikh tutup pendaftaran: 14 November 2009 (Sabtu)

Tarikh: 20 Disember 2009 (Ahad)
Masa: 9:00 pagi – 1:00 tengah hari
Tempat: Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur (tidak jauh dari KLCC)
Penganjur: Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Sekretariat Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLL) MCA
Pembimbing: Uthaya Sankar SB
Tarikh tutup pendaftaran: 12 Disember 2009 (Sabtu)

(Nota: Individu yang mendaftar sebelum 15 November 2009 bagi bengkel 22 November 2009 hanya perlu membayar RM30.00.)

Syarat-syarat Umum:

Penyertaan terbuka kepada individu pelbagai kaum berumur minimum 20 tahun yang berminat mempelajari teknik menghasilkan cerpen bermutu.

Sebaik-baiknya, peserta mempunyai sedikit asas mengenai penulisan.

Peserta perlu membawa alat tulis dan buku untuk mencatat nota.

Bengkel akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia.

Peserta akan dibimbing oleh Uthaya Sankar SB.

Bayaran penyertaan adalah sebanyak RM50.00 sahaja.

Individu yang berminat perlu mendaftar nama dengan mengirim e-mel ke alamat infokavyan@yahoo.com.my selewat-lewatnya pada tarikh tutup pendaftaran yang ditetapkan.

Peserta perlu mendaftar untuk menyertai SALAH SATU bengkel sahaja; iaitu pada 22 November 2009 atau 20 Disember 2009.

Sila tulis “Bengkel Cerpen Kavyan” pada ruangan subjek (subject) setiap e-mel yang dikirim berhubung bengkel ini.

Kemudian, peserta akan diminta mengesahkan penyertaan dengan mendeposit bayaran penyertaan sebanyak RM50.00 ke akaun CIMB Bank Berhad.

Bengkel intensif ini terhad kepada 15 peserta sahaja.

Pendaftaran akan ditutup selepas 15 peserta terawal membuat bayaran.

Pada hari bengkel berlangsung (22 November 2009 & 20 Disember 2009), peserta WAJIB membawa salinan slip bank sebagai bukti pembayaran sebelum dibenarkan menyertai bengkel.

Meja pendaftaran dibuka pukul 8:30 pagi pada hari bengkel (22 November 2009 & 20 Disember 2009). Peserta diingatkan supaya tidak datang selepas pukul 9:00 pagi kerana akan mengganggu perjalanan bengkel.

Bayaran tidak akan dikembalikan jika peserta gagal hadir.

Peserta yang mendaftar bagi bengkel 22 November 2009 tidak boleh berpindah ke bengkel 20 Disember 2009; kecuali dengan kebenaran pihak penganjur.

Peserta perlu menanggung sendiri segala kos perjalanan, makan-minum, penginapan (dan sebagainya) untuk menyertai bengkel ini.

Peserta dinasihatkan supaya mematikan deringan telefon bimbit serta tidak mengganggu perjalanan bengkel dengan apa cara sekalipun.

Hanya peserta yang mengikuti SEPENUHNYA bengkel ini akan diberi sijil penyertaan dan cenderamata berupa buku cerita oleh pihak Kavyan.

Semasa menghadiri bengkel, peserta akan diberi bimbingan secara praktikal, di mana peserta perlu menulis rangka cerpen.

Topik-topik asas yang akan disentuh termasuk unsur-unsur sastera dan unsur-unsur cerpen.

Topik-topik khusus yang akan diberi penekanan termasuk cara mendapatkan idea bagi cerpen, teknik memancing minat pembaca, cara mengedit karya sendiri dan cara mengirim karya kepada editor akhbar/majalah.

Peserta digalakkan supaya terlibat secara aktif dan bertanya soalan yang sesuai semasa menyertai bengkel ini.

Hubungi infokavyan@yahoo.com.my SEBELUM tarikh tutup penyertaan yang ditetapkan jika ada sebarang bertanyaan berhubung bengkel ini.

Saturday, September 5, 2009

Pertandingan Fotografi Amatur

Pertandingan Fotografi Amatur Menggunakan Telefon Bimbit

Tema: “Jom Bergaya dengan Buku!”


1. Pertandingan fotografi amatur ini adalah anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

2. Pertandingan ini dianjurkan sebagai salah satu pengisian kempen “Jom Bergaya dengan Buku!”

3. Tema yang ditetapkan adalah “Jom Bergaya dengan Buku!”

4. Terpulang kepada peserta untuk membuat interpretasi terhadap tema yang ditetapkan.

5. Pertandingan ini bukan pertandingan fotografi profesional.

6. Penilaian lebih tertumpu pada “tema” dan “kreativiti”, bukannya pada kemampuan merakam foto secara profesional.

7. Foto yang dihantar bagi tujuan pertandingan ini mestilah diambil menggunakan telefon bimbit.

8. Foto yang dikemukakan bagi tujuan pertandingan ini mestilah foto asli yang diambil sendiri oleh peserta.

9. Foto berkenaan tidak boleh diubahsuai menggunakan sebarang perisian komputer (dan sebagainya) yang menjadikan foto itu tidak asli.

10. Pertandingan ini terbuka bagi warganegara Malaysia sahaja.

11. Tiada had umur, kaum, jantina (dan sebagainya) bagi peserta.

12. Foto yang dikemukakan bagi tujuan pertandingan ini mestilah tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan agama; serta tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Malaysia.

13. Segala kos menyertai pertandingan ini ditanggung sendiri oleh peserta.

14. Subjek dalam foto terbahagi kepada empat kategori: Kanak-kanak (bawah 13 tahun), Remaja (13-19 tahun), Dewasa (20-55 tahun) dan Warga Emas (lebih 55 tahun).

15. Kategori umur di atas BUKAN bagi peserta tetapi bagi subjek/individu yang dipaparkan dalam foto bertema “Jom Bergaya dengan Buku!”

16. Setiap peserta boleh mengirim maksimum empat penyertaan sahaja, iaitu satu penyertaan bagi setiap kategori subjek.

17. Kavyan berhak menggunakan mana-mana foto yang dikirim bagi tujuan pertandingan ini dalam mana-mana promosi kempen “Jom Bergaya dengan Buku!” tanpa sebarang bayaran.

18. Foto perlu dikirim sebagai lampiran (attachment) melalui e-mel.

19. Pada bahagian subjek (subject) e-mel yang dikirim, perlu ditulis “Pertandingan Fotografi Amatur”.

20. Maklumat berikut wajib dinyatakan dalam e-mel: Nama Penuh, Alamat Rumah, Nombor Telefon Bimbit, Alamat e-mel dan Kategori (Kanak-kanak, Remaja, Dewasa atau Warga Emas).

21. Penyertaan tanpa maklumat di atas tidak akan dilayan.

22.Setiap peserta secara automatik mengesahkan telah membaca kesemua syarat, mengesahkan foto yang dikirim adalah asli dan akur pada semua syarat pertandingan ini.

23. Mana-mana penyertaan yang tidak memenuhi syarat atau gagal mematuhi syarat yang ditetapkan akan digugurkan tanpa sebarang notis.

24. Pihak Kavyan akan membalas e-mel sebagai tanda pengesahan penerimaan.

25. Bagi penyertaan yang tidak memenuhi syarat, e-mel tidak akan dibalas.

26. Penyertaan perlu dihantar ke alamat e-mel infokavyan@yahoo.com.my

27. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Oktober 2009 (Khamis).

28. Penyertaan lewat tidak akan dilayan sama sekali.

29. Foto-foto akan dinilai oleh beberapa individu yang dipilih oleh pihak Kavyan.

30. Dua puluh penyertaan terbaik akan diberi hadiah; iaitu lima bagi setiap kategori.

31. Keputusan akan diumumkan di blog http://www.kavyan.blogspot.com/ selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2009 (Sabtu).

32. Keputusan adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan. Sebarang bantahan tidak akan dilayan.

33. Hadiah adalah dalam bentuk buku; sesuai dengan kempen “Jom Bergaya dengan Buku!”

34. Tajuk, jumlah dan nilai buku akan ditetapkan oleh pihak Kavyan.

35. Hadiah buku akan dikirim kepada pemenang melalui pos.

36. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hantar ke infokavyan@yahoo.com.my; tetapi hanya pertanyaan yang wajar dan sesuai akan dibalas.
.
Nota: Foto di atas sekadar hiasan.

Sunday, August 23, 2009

Pemenang Kuiz Sedekad Kavyan

Individu yang memberikan jawapan paling hampir bagi Kuiz Khas Sedekad Kavyan ialah Vettry Kumaran a/l A. Balaraman dari Kluang, Johor.

Senaskhah Siru Kambam (Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia, DBP, cetakan kedua 1997, harga pasaran RM18.00) akan dikirim kepada beliau dalam masa terdekat.

Soalan: “Namakan kesemua lima individu yang menghadiri perjumpaan pertama Kavyan pada 22 Ogos 1999.”

Jawapan: Raja Rajeswari Seetha Raman, Retna Devi Balan, Uthaya Sankar SB, M. Mahendran dan Ramakrishnan (lihat foto).

Friday, August 21, 2009

Sedekad Kavyan

Hari ini, 22 Ogos 2009, menandakan genap sedekad sejak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan. Di kala ini, sudi-sudikanlah mengimbau sejarah Kavyan DI SINI. Mana tahu, saudara mungkin mendapat jawapan bagi KUIZ KHAS SEDEKAD KAVYAN.

Monday, August 17, 2009

Kuiz Khas Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan

Kuiz khas “Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan” diadakan sebagai salah satu aktiviti sempena ulang tahun kesepuluh penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Kuiz ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang tahu Bahasa Malaysia; kecuali individu yang menganggotai Jawatankuasa Kavyan (1999-2009).

Tiada batas kaum, keturunan, etnik, budaya, agama, umur, pekerjaan, pendidikan, ideologi politik (dan sebagainya).

Tarikh akhir mengirim jawapan bagi kuiz khas ini adalah pada 22 Ogos 2009; pukul 4:00 petang.

Sebarang jawapan yang diterima selepas pukul 4:00 petang, 22 Ogos 2009 tidak akan dilayan sama sekali.

Maklumat lanjut serta soalan kuiz khas “Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan” dipaparkan di Blog Kavyan pada pukul 8:00 pagi, 18 Ogos 2009.

Sepuluh (10) peserta terawal (1-10) yang mengirim jawapan yang tepat dengan disertakan maklumat diri yang lengkap akan menerima senaskhah kumpulan cerpen Siru Kambam.

Sepuluh (10) peserta berikutnya (11-20) yang mengirim jawapan yang tepat dengan disertakan maklumat diri yang lengkap akan menerima senaskhah novel Hanuman: Potret Diri.

Hadiah buku ini adalah sebagai galakan membaca melalui kempen “Jom Bergaya dengan Buku!”

Sekiranya jumlah peserta yang mengirim jawapan yang tepat dengan disertakan maklumat diri yang lengkap tidak sampai 20 orang apabila penyertaan ditutup, maka hadiah buku hanya diberi kepada peserta yang layak sahaja; iaitu kurang daripada 20 orang.

Soalan kuiz: “Namakan kesemua lima individu yang menghadiri perjumpaan pertama Kavyan pada 22 Ogos 1999.”

Jawapan perlu dikirim melalui e-mel ke alamat infokavyan@yahoo.com.my

Pada bahagian subjek e-mel, wajib ditaip Kuiz Khas Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Mana-mana penyertaan tanpa tajuk Kuiz Khas Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan pada subjek e-mel tidak akan dilayan sama sekali.

Setiap jawapan yang dikirim wajib disertakan nama penuh, alamat rumah, nombor telefon bimbit dan alamat e-mel.

Jawapan yang tidak disertakan maklumat nama, alamat, nombor telefon dan e-mel tidak akan dipertimbangkan sama sekali.

Bukti pengiriman bukan bukti penerimaan.

Jawapan yang dikirim melalui SMS, mesej Facebook atau cara-cara lain selain menerusi e-mel ke alamat yang dinyatakan tidak akan dilayan sama sekali.

Setiap penyertaan yang diterima (dan memenuhi syarat-syarat penyertaan yang sudah pun dinyatakan secara amat jelas) akan dibalas sebagai pengesahan e-mel selamat diterima.

Pengesahan penerimaan e-mel bukan pengesahan kemenangan.

Mana-mana e-mel yang tidak mematuhi syarat-syarat penyertaan yang sudah pun dinyatakan secara amat jelas tidak akan dibalas; sebaliknya akan dipadam/dibuang terus.

Setiap individu boleh mengirim satu penyertaan sahaja.

Penyertaan kedua dan seterusnya daripada individu yang sama (atau dari alamat e-mel yang sama, walaupun menggunakan nama yang berlainan) tidak akan dilayan sama sekali.

Pihak Kumpulan Sasterawan Kavyan berhak membatalkan mana-mana penyertaan yang meragukan; tanpa perlu mengemukakan alasan.

Senarai pemenang (dijangka) akan diumumkan di Blog Kavyan (www.kavyan.blogspot.com) pada 24 Ogos 2009.

Keputusan adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

Buku akan dikirim kepada pemenang melalui pos dalam tempoh dua (2) minggu selepas keputusan diumumkan.

Kumpulan Sasterawan Kavyan tidak bertanggungjawab atas buku yang hilang selepas dikirim melalui pos.